Kita sering dianjurkan beristighfar dalam menjalani kehidupan seharian kita. Ia dikatakan sunnah Rasulullah kerana Nabi Muhammad sendiri selalu beristighfar.
Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: "Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih." (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, dishohehkan oleh Imam Turmidzi)
Kita memandang istighfar sebagai suatu amalan yang perlu dilakukan selepas melakukan dosa, sepertinya selepas sedar dari mengumpat.
Ada juga yang menjadikan istighfar sebagai ayat "melatah". Seperti dalam keadaan terkejut.
Kasihan sungguh kita, selama ini kebanyakan istighfar yang dilafazkan di luar kesedaran kita!.
Bila ditanya pada diri sendiri, mengapa kita perlu istighfar? Maka timbullah jawapan berdasarkan logik akal fikiran.
"Agar tenang", "Agar dosa diampunkan", "Agar hidup diredhai Allah" dan seterusnya...
Tapi adakah kita berpuas hati dengan jawapan berdasarkan logik akal fikiran kita saja? Dalam setiap persoalan, kita hendaklah mendasarkan penilaian kita berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Mari kita bertanya kepada dua bahan rujukan kita iaitu sunnah Rasulullah s.a.w dan ayat Al-Quran.
Istighfar agar memperoleh pengampunan dari Allah s.w.t
dalam surah an-nisa, ayat 110
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Ini adalah asas kepada istighfar, dan setiap muslim sepatutnya memahami fungsi istighfar ini.
Istighfar agar memperoleh perlindungan dari Allah s.w.t
Dari surah Al-Anfar, ayat 33
"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (muhammad) berada dianatara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminda ampun"
dan dari surah Gharfir/Al-Mukmin, ayat 7-10
"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhanny dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berdoa):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan periharalah mereka dari azab neraka.
"Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga "Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang soleh diantara nenek moyang mereka, isteri-isteri(dan suami), dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
"Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."
Lihatlah, bagaimana mulianya manusia yang memohon ampun kepada Allah. Sehingga para malaikat mendoakan mereka sedemikian. dan doa para malaikat bukan hanya untuk individu yang memohon ampunan Allah, bahkan untuk nenek moyang (ahli keluarganya yang telah meniggal), pasangannya, dan zuriat mereka (anak, cucu, cicit dan seterusnya).
Istighfar agar mendapat kesenangan dan terlepas dari keadaan risau dan resah.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu 'anhuma, bahwa Rasulullah telah bersabda: "Barangsiapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap kegundah-gulanaannya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka."
(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Mari dengarkan sebuah kisah dari sebuah kitab Tafsir Al-Maraghi hasil tulisan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi. kisah tentang seorang tabi'in (generasi ulama selepas sahabat rasulullah) yang bernama Hasan Al-Basri. Hasan sering didatangi mereka yang bertanya hukum agama dan meminta nasihat atas segala persoalan.
Suatu hari Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab "Istighfarlah kepada Allah swt"
Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"
Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab "Beristighfarlah kepada Allah swt"
Kelakuan Hasan tadi amat menghairankan penduduk sekitarnya. sehingga seorang dari penduduk itu bertanya kepada Hasan "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!"
Maka Hasan menjawab "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah SWT berfirman (seperti itu)".
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah surah an-nuh ayat 10-12 yang bermaksud
"Maka aku (nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, Dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu"
Contohilah Hasan al-Basri kerana sikapnya dan pemikirannya yang sentiasa berdasarkan al-quran dan as-sunnah.
Istighfar sebagai usaha memakbulkan doa.
Firman Allah dalam surah Al-Hud, ayat ke-3
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan ) keutamannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya aku(Muhammad) takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat"
Kali ini, kita bacakan kisah tentang seorang alim yang bernama Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu 'Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.
Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.
Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.
Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi".
Imam Ahmad bertanya "Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu " Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal"
Maka kata Imam Ahmad : " Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu."
(Sumber: majalah Qiblati, indonesia. edisi ke 8)
Besarnya kuasa Allah! Kerana sayangnya Allah kepada si pembuat roti, dibawanya Imam Ahmad kepadanya.
Dalam kisah ini kita juga patut mencontohi akhlak Imam Ahmad. Walaupun beliau mengetahui nama beliau amat terkenal dan dihormati, tetapi beliau tidak membanggakan namanya agar memperoleh pertolongan dari manusia. Beliau tidak mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan. Kerana jika beliau mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan dengan memberitahu namanya dengan mengharapkan balasan, maka khuatir Allah akan membalas dengan memadam segala amalan yang dibanggakan tadi.
"Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian karena yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala." (HR.Muslim)
Inilah antara kebaikan yang kita perolehi jika kita selau beristighfar kepada Allah. Sekarang kita boleh lebih menghayati lafaz astaghfirullah hal azim dan yang seteru dengannya.
Bagaimana dan apakah lafaz zikir yang digunakan untuk beristighfar? ucapkanlah apa yang kamu inginkan selagi ianya membawa maksud mengharap pengampunan dari Allah swt, kerana istighfar itu sendiri membawa maksud memohon ampunan dari Allah.
Sesungguhnya Allah swt dan Rasulnya juga lebih mengetahui.
Beramallah kita seperti seorang muslim
Sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.
http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/833-akhi-nsh.html