puterakuda


Keperibadian ahli hadis

Oleh: Mohd Norzi Nasir
Sumber: http://www.utusan.com.my

KELAHIRAN dan kebangkitan para ulama hadis sepanjang zaman merupakan satu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilai mereka berupa penyusunan pelbagai kaedah dan metod dalam ilmu hadis telah berjaya dijadikan garis panduan dan digunakan secara ilmiah untuk meneliti kesahihan sesebuah hadis.

Usaha yang disumbangkan oleh para ulama melalui karya-karya agung secara tidak langsung adalah bukti mereka mempertahankan kredibiliti Rasulullah SAW sebagai penyampai wahyu Allah melalui lidah, perbuatan dan pengakuan, para sahabat selaku generasi pertama yang mengambil periwayatan daripada baginda.

Semua gerak kerja yang dilakukan oleh para ulama hadis adalah demi mempertahankan hadis-hadis Rasulullah SAW daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam.

Meneladani dan mengetahui visualisasi sebenar keperibadian ahli hadis merupakan tuntutan dalam usaha melahirkan generasi al-hadis ke arah meniti kegemilangan ummah pada masa hadapan.

Ahli hadis merupakan generasi yang memiliki tingkat kepercayaan yang paling tinggi dalam meyakini manhaj Rasulullah SAW, berjalan di atas manhaj atau jalan yang ditempuh oleh para sahabat Rasulullah SAW, para tabien dan tabi’ altabien.

Mereka juga merupakan kadir-kadir yang tetap di atas perkara yang asas dalam agama dan cabangnya sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (al-Quran) dan janganlah berpecah-belah. (ali-‘Imran: 103)

Menurut al-Sabuni, “Ahli hadis meneladani Nabi dan para sahabatnya. Mereka meneladani generasi salaf yang saleh dari para imam dan para ulama kaum muslimin. Mereka berpegang teguh kepada agama yang kukuh dan kebenaran yang pasti. Mereka membenci ahli-ahli bidaah yang sering mengada-adakan sesuatu dalam persoalan agama”. (Aqidah al-Salafi Ashab al-Hadis, hlm. 99-100)

Pujian ulama terhadap ahli hadis

Rasulullah SAW mendoakan secara khusus kepada sesiapa yang mempelajari hadis baginda SAW. Sabda baginda yang bermaksud: “Semoga Allah SWT memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaKu lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain”. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Hibban dalam Kitab Sahihnya)

Sufyan al-Thauri mengatakan: “Aku tidak mengetahui suatupun yang dipersembahkan kepada Allah SWT melebihi (daripada mempelajari dan mengajar) hadis”.

Imam al-Syafie berkata: “Kamu hendaklah bersama ashab al-hadis. Merekalah orang yang paling tepat”. Bahkan beliau pernah bersyair dengan maksud: “Ilmu yang sebenar ialah yang ada padanya haddasana. Dan yang tiada demikian (tiada sanad riwayat dan tiada asal daripada Nabi SAW), maka semua itu hanyalah bisikan syaitan”.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal: “Tidak ada satu kaum pun di sisiku yang lebih baik daripada ahli hadis”.

Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan: “Seandainya para ulama hadis tidak menjaga hadis-hadis, tidak mengumpulkannya, tidak mengeluarkan kefahaman daripadanya dan mengamati sanad-sanadnya, nescaya terbatallah syariat Islam dan hilanglah hukum hakamnya, kerana semuanya itu diambil daripada hadis-hadis yang dihafal (dan terjaga) dan diriwayatkan (oleh mereka)…”.

Membela sunnah Rasulullah SAW

Abu Hurairah r.a dan Kewibawaan Dalam Ilmu Hadis:

Beliau ialah Abu Hurairah al-Dawsi al-Yamani. Para ulama berselisih pendapat tentang nama beliau. Nama beliau dikatakan sebagai Abd. al-Rahman ibn Sakhar, atau ibn Ghunm, atau Abdullah ibn A’iz, Abd. Shams dan beberapa nama lain. Sewaktu zaman Jahiliah nama beliau dikatakan sebagai Abd. Syams.

Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun 7H, tahun berlakunya peperangan Khaibar. Beliau memeluk Islam setelah mendengar dakwah dari Tufayl ibn Amr al-Dawsi yang pernah datang ke Madinah menghadap baginda SAW.

Abu Hurairah terkenal sebagai tokoh yang berpegang teguh pada sunnah Rasulullah dan sentiasa memberikan khidmat bakti kepada baginda. Sejak memeluk Islam, Abu Hurairah sering berdampingan dengan Rasulullah SAW.

Menurut Ajjaj al-Khatib, Abu Hurairah sering bersama Rasulullah dan mempunyai banyak kesempatan belajar serta menerima hadis berlainan dengan para sahabat yang sibuk menguruskan ladang-ladang, dagangan-dagangan dan yang membantu Rasulullah SAW dalam pertempuran dan pertahanan negara.

Abu Hurairah dianugerahkan hafalan yang kuat. Kekuatan hafalan beliau adalah sebagai satu bukti keberkatan doa baginda SAW. Hal ini sebagaimana kisah yang diungkapkan oleh Abu Hurairah sendiri seraya Abu Hurairah berkata, “Wahai Rasulullah, aku mendengar hadis yang banyak daripada-Mu, tetapi aku sering lupa, Rasulullah SAW berkata, “Hamparkanlah selendangmu. Lalu aku menghamparkannya, lalu Rasulullah SAW memegang dengan kedua tangannya dan baginda SAW. bersabda, “Ikatlah”. Lalu aku mengikatnya. Sejak itu aku tidak pernah lupa. (riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab Hifz al-Ilm, hadis 119].

Ketekunan Abu Hurairah dalam menerima, mendengar dan mempelajari hadis daripada baginda SAW terbukti apabila beliau merupakan perawi pertama yang menanyakan hadis gerangan yang paling bahagia kerana mendapat syafaat daripada baginda pada hari kiamat.

Kewibawaan beliau sebagai seorang perawi hadis telah diakui oleh baginda, para sahabat dan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Beliau turut dikenali sebagai salah seorang ahli suffah yang tinggal di wakaf masjid. Sifat amanah dan takwa yang dimiliki oleh beliau menjadi kebanggaan baginda sehingga baginda SAW melantik beliau sebagai pengagih makanan untuk ahli suffah iaitu golongan fuqara’ muhajirin yang tiada tempat tinggal.

Abu Hurairah menghembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau telah mewafatkan warisan yang amat berharga kepada umat Islam dan merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW iaitu 5,374.