puterakuda

Daya tahan hadapi cabaran perniagaan antara faktor kemenangan

UNIVERSITI Tenaga Nasional Sdn Bhd (Uniten) dipilih sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Perdana Menteri 2009, anugerah tertinggi yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat tempatan dari segi pengeluaran, penembusan pasaran luar negara, kualiti dan penjenamaan.

Uniten yang juga anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) dipilih sebagai penerima anugerah itu kerana kecemerlangannya dalam menjalankan perniagaan, meningkatkan daya saing, inovatif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat keseluruhan. Daya tahan yang kuat pengendali universiti itu dalam menghadapi pelbagai cabaran perniagaan turut menjadi faktor kemenangannya.

Selain anugerah Perdana Menteri, Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) kali ke-19 itu menyaksikan enam kategori lain dipertandingkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Produk, Anugerah Kecemerlangan Eksport (Dagangan), Anugerah Kecemerlangan Eksport (Perkhid-matan), Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kualiti, Anugerah Kecemerlangan Jenama (Dagangan) dan Anugerah Kecemerlangan Jenama Perkhidmatan.

Anugerah Kecemerlangan Produk dimenangi Zentretech Resources Sdn Bhd, Hexa Analisa Sdn Bhd, Hyrax Oil Sdn Bhd dan Alami Vegetable Oil Products Sdn Bhd manakala pemenang Anugerah Kecemerlangan Eksport (Perkhidmatan) ialah Minconsult Sdn Bhd, Sunway Education Group Sdn Bhd, Eversendai Corporation Sdn Bhd, Inspidea Sdn Bhd dan Scicom MSC Sdn Bhd.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Jenama (Dagangan), ia dimenangi Coffeeland Sdn Bhd, Cranberry (M) Sdn Bhd, Joven Electric Co Sdn Bhd dan Power Root (M) Sdn Bhd.
Pengerusi Lembaga Pengarah Uniten, Tan Sri Leo Moggie menerima anugerah itu daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis penganugerahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Anugerah Kecemerlangan itu, Tan Sri Azman Hashim; Timbalan Menteri Miti, Datuk Jacob Dungau Sagan dan Ketua Setiausaha Miti, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Syarikat penerima anugerah itu akan menikmati pengecualian cukai dan kebenaran menggunakan logo AKI selama tiga tahun bagi tujuan publisiti, manakala profil mereka akan dipaparkan dalam laman web Miti, MPC, Matrade dan Sirim.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya yang dibacakan Mustapa pada majlis itu berkata, peserta industri perlu sentiasa bersedia dan menguatkan diri menghadapi kemungkinan pelbagai cabaran dalam persekitaran ekonomi yang mencabar menerusi peningkatan produktiviti selain menjadi lebih inovasi dan kreatif.

Langkah itu, katanya, adalah penting memandangkan peserta industri antara tonggak utama ekonomi negara.

“Kemajuan kita sebagai negara perdagangan terletak kepada keupayaan mengembangkan ekonomi. Kita adalah negara perdagangan, dan ini bermakna kita mesti berupaya menjual barangan dan perkhidmatan di pasaran antarabangsa. Jika berjaya melakukannya dengan jayanya, ekonomi kita akan berkembang dan semua pihak berpeluang menikmatinya,” katanya.

Najib turut menggesa peserta industri yang memainkan peranan penting dalam ekonomi meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa bagi menghadapi saingan global yang semakin sengit.