puterakuda

PENUNJUK perasaan anti Wilders berhimpun di seberang jalan bertentangan penyokong EDL.

Kempen anti-Islam ahli perundangan Belanda cetus bantahan

LONDON: Ahli politik anti-Islam Belanda, Geert Wilders dilaporkan membawa filem tajaan beliau yang menghina al-Quran ke Parlimen Britain sehingga menimbulkan perdebatan panas di kalangan anggota dewan dan mencetuskan bantahan di luar bangunan itu.

Wilders diundang Parlimen Britain selepas meraih sokongan besar dalam pilihan raya tempatan di Belanda minggu ini.

Kehadirannya menunjukkan kebimbangan di Eropah mengenai peningkatan orang Islam yang menolak nilai liberal berlawanan dengan dasar menyambut baik warga asing yang bermasalah serta sikap menyokong kepelbagaian budaya.


Wilders menyiarkan filem bertajuk Fitna itu selama 15 minit kepada 60 orang termasuk ahli Parlimen di bilik dalam bangunan itu. Filem berkenaan mengaitkan al-Quran dengan keganasan, dasar anti golongan homoseks dan penindasan terhadap wanita.

Di luar Parlimen, kira-kira 200 penunjuk perasaan menjerit dan melaungkan 'Fasis keluar dari tempat kami.'

Polis turut bertempur dengan beberapa penunjuk perasaan yang cuba menghalang sebuah jalan bagi menghalang satu tunjuk perasaan oleh aktivis menyokong Wilders dari Liga Pertahan England (EDL) daripada mendekati Parlimen.

PENYOKONG EDL berarak ke Parlimen bagi menyokong Wilders.

Wilders kemudian bertemu media Britain dan berkata: "Saya percaya Islam agama bahaya dan ganas, tetapi saya tidak menentang umat Islam."

Pada masa sama, beliau mahu seluruh Eropah melarang imigran umat Islam mendiami benua itu.

Lawatan dan kontroversi melanda Wilders setiap kali beliau menjalankan kempen pilihan raya kebangsaan dengan popularitinya melonjak. Malah, satu kajian pendapat meramalkan Parti Freedom pimpinannya bakal menjadi antara dua parti terbesar di Parlimen Belanda pada masa akan datang.

Partinya mendapat sambutan dalam pilihan raya tempatan minggu ini, menang semua kerusi di sebuah bandar dan mendapat tempat kedua di tempat lain.

Tetapi, parti berusia empat tahun itu tidak dianggap kuat kerana bukan pertubuhan kebangsaan selain enggan meletakkan calon di hampir 400 tempat lain. � AP