puterakuda

Siapakah Mereka?

Ketika Rasulullah S.A.W. sedang memeriksa barisan tentera sukarelawan Peperangan Hunain, baginda terkesima dengan gelagat beberapa orang anak muda. Mereka kelihatan terjengket-jengket, cuba menonjolkan ketinggian meskipun jelas pedang yang disandang lebih tinggi dari tubuh mereka. Malah pakaian masing-masing meleret ke bumi. Sedaya upaya remaja-remaja ini berlumba-lumba melayakkan diri mereka sebagai barisan tentera pilihan Rasulullah. Kombinasi raut wajah belia belasan usia dengan semangat jihad lelaki dewasa meruntun persoalan, “Siapakah remaja-remaja ini?”.

Tatkala mengenali siapakah remaja-remaja sehebat ini, sayugia kita mengamati secara terperinci keistimewaan yang menghiasi peribadi-peribadi mereka. Masih relevankah keistimewaan mereka dengan belia remaja era ini? Jika benar, bagaimana kegemilangan ini dapat kita garap dan kembalikan rohnya kepada pemuda zaman kita.

Mereka Hebat, Kita ‘Hebat’

Apabila membincangkan tentang remaja Islam silam, khususnya yang sezaman dengan Rasulullah, kita tidak dapat lari dari figur istimewa ini, Saidina Ali bin Abi Talib. Insan istimewa ini diputerakan di tempat yang juga istimewa, iaitu di dalam Kaabah di Mekah pada tahun 601 Masihi. Ali telah membuktikan bahawa beliau bukan sekadar menyandang tokoh kanak-kanak pertama memeluk Islam, malah beliau telah susuli zaman remajanya dengan beberapa siri pengorbanan yang tidak betah dengan usianya. Umum mengetahui peristiwa yang melibatkan Ali pada malam hijrah Rasulullah S.A.W. Berbekal akhlak berani kerana benar, Ali sanggup tidur di tempat perbaringan Rasullulah S.A.W. sedangkan beliau menyedari segerombolan pemuda musyrikin Quraisy sedang berkawal ketat di luar rumah Rasullullah dengan kilatan hunusan pedang. Nyawa sebagai galang ganti, hebatnya Ali!

Sesekali apabila diamati, remaja era milennium tidak kurang ‘hebat’nya. Kala malam merangkak tua, berbekalkan sifat berani tak tentu hala, mereka sanggup meniarap di atas motosikal masing-masing. Kenderaan mereka bukan statik seperti tempat perbaringan Rasullullah S.A.W., malah bergerak dengan kelajuan yang di luar jangkaan. Remaja-remaja ini sanggup mengambil risiko memperjudikan nyawa, berlumba di bawah neon, sedangkan mereka menyedari aksi mereka disaksi oleh segerombolan polis trafik dengan bingitan siren amaran. Aksi demi aksi, dari atas motosikal mereka akhirnya terbaring di jalan raya, menokhtahkan hidup dengan sia-sia, ‘hebat’kan remaja kita?

Sifat berani sangat sinonim dengan Ali kerana ciri ini sering ditonjolkan oleh penceramah, penulis malah oleh ustaz kita sejak dahulu lagi. Namun tidak ramai di kalangan kita yang mengenali Ali sebagai cendiakawan ulung. Sejak remaja lagi Ali mendalami setiap cabang ilmu pengetahuan. Beliau mahir dalam ilmu sastera, ilmu hisab dan kehakiman. Di samping itu, Ali adalah seorang remaja yang kreatif, inovatif dan proaktif. Pasukan polis pertama di dunia yang diberi nama Al-Syurtah adalah hasil pemikiran intelektektual Ali. Malah cetusan inovatif remaja berwawasan ini maka tertubuhlah badan perisik pertama yang belum pernah dilaksanakan sebelum zamannya. Hebatnya remaja silam ini!. Hebatkah remaja zaman kita?

Tiada siapa dapat menafikan ‘kehebatan’ remaja kita ketika ini. Di samping melibatkan diri secara aktif sebagai ‘pelumba professional’, mereka juga bergiat aktif dalam kejuruteraan otomotif. Berbekalkan daya kreativiti yang tinggi, kenderaan diubahsuai, brek ditanggalkan, kuasa deruman ditingkatkan. Bukan sekadar itu, ada juga di kalangan mereka yang sangat mahir dalam ilmu ‘hisap dan hidu’. Ganja, heroin, kokain, syabu, namakan apa sahaja semua mereka tahu. Kadang-kadang kehebatan ilmu mereka dalam bidang ini melayakkan mereka menjawat jawatan ‘doktor peribadi’ bagi diri masing-masing. Anggota badan disuntik, malah ditoreh dengan cekap sekali tanpa perlu dibius terlebih dahulu. Natijahnya, mayat-mayat bernyawa ini akan menyempurnakan bidang mereka di institusi-institusi yang dikenali sebagai Pusat Serenti. Tidak ‘hebat’kah remaja-remaja zaman ini?

Kaya Harta, Kaya Jiwa

Anak muda ini berhijrah ke Madinatul Munawarah dalam keadaan sehelai sepinggang. Setibanya di sana , beliau disaudarakan dengan Saad bin Rabiul Ansari. Amati dialog anak muda ini dengan Saad.

Saad : Saudaraku, aku seorang hartawan di Madinah. Ambillah separuh

daripada hartaku untuk kegunaanmu.

Anak Muda : Terima kasih. Semoga Allah memberkati hartamu. Tolong

tunjukkan aku di mana letaknya pasar agar aku dapat berniaga di

situ.

Selepas beberapa tahun gigih berniaga, anak muda ini dapat menyumbangkan barang-barang keperluan yang dimuatkan di atas 700 ekor unta untuk kegunaan penduduk Madinah. Malah beliau sanggup menderma 40 ribu dinar kepada golongan fakir miskin. Harta peribadinya juga dibahagikan kepada setiap tentera yang menyertai Perang Badar. Beliau tidak lokek menginfakkan hartanya untuk mengembangkan Islam di serata dunia. Maka bebondong-bondonglah orang asing memeluk agama suci ini. Mulianya pekerti anak muda ini, Abdul Rahman bin ‘Auf.

Walau memiliki peluang menggunakan harta Saad secara percuma (bukan pinjaman), Abdul Rahman masih punya jati diri yang kental. Sifat berdikari, berwawasan tinggi dan jujur diri menempatkan beliau sebagai usahawan muda yang terbilang di zaman silam. Bagaimana dengan anak muda kita?

Kebiasaannya ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia , remaja-remaja kita akan bekerja sambilan, belajar memandu, kelas komputer dan sebagainya. Tahniah kerana pandai memanfaatkan masa. Sayang sekali majoriti daripada kalangan mereka ini bergiat cergas sebagai pengganggur terhormat. Tidak ketemukah mereka dengan pasar seperti yang dicari oleh Abdul Rahman? Malah remaja-remaja kita lebih beruntung kerana tersedia pasar-pasar raya yang tersergam indah. Sayang sekali lagi kerana tempat-tempat ini tidak digunakan untuk berniaga tetapi diisi dengan agenda utama iaitu melepak dan mencuci mata.

Tatkala ingin melanjutkan pelajaran, terdapat badan-badan kerajaan dan swasta yang menyediakan pinjaman pendidikan, PTPTN sebagai contohnya. Sebaik sahaja wang pinjaman singgah di bank, sebahagian besar pelajar-pelajar kita mencari pasar-pasar raya. Hendak berniagakah mereka? Tidak sama sekali! Mereka sedang melengkapkan diri mereka dengan alat komunikasi canggih, iaitu telefon mudah alih berjenama. Malah ada yang terlalu ‘kreatif’ berbelanja sehingga wang tersebut tidak sempat untuk digunakan bagi tujuan sebenarnya. Apabila kesempitan wang, mereka ‘kreatif’ pula mencari peluang perniagaan sehingga ada yang tergamak menjual batang tubuh sendiri. Lebih menyedihkan lagi mereka sanggup memperdagang akidah dengan menyertai persatuan agama lain. Maka berbondong-bondonglah rakan IPT mereka yang murtad. Maha benarlah sabda Rasullullah bahawa kefakiran akan mendekatkan kita dengan kekafiran.

Kembalikan Kegemilangan Itu

Kisah-kisah yang dipaparkan hanyalah segelintir contoh untuk renungan dan perbandingan. Perincian peribadi-peribadi mulia ini tidak mampu untuk menampung rencana pendek ini kerana setiap zaman melahirkan tokoh remaja gemilang. Kita kenali Ibnu Batuta sebagai Bapa Pelayaran, Al-Khuwarizmi selaku Bapa Matematik, Gaber bin Hayan, Bapa Kimia, Al-Razi, Bapa para doktor dan ramai tokoh terbilang silam lagi. Sembilan puluh peratus daripada mereka mencipta kegemilangan sejak zaman remaja lagi, malah ada yang bintangnya bersinar seawal kanak-kanak lagi.

Bukan menyindir, bukan memerli, hakikatnya remaja zaman ini mempunyai peluang untuk lebih cemerlang dan gemilang berbanding remaja Islam silam. Kita miliki bidang IT, otomotif, kejuruteraan, bioteknologi dan seribu satu macam bidang yang muncul secara tiba-tiba. Entah di mana silapnya, belia pada zaman ini lebih selesa membuang masa kepada perkara yang sia-sia. Bidang baharu yang diteroka tidak disalurkan untuk menggapai redha Ilahi.

Wahai pemuda-pemudi! Kembalikan kegemilangan remaja Islam silam. Manfaatkan masa, rebutlah peluang. Kita ada institusi-institusi Islam yang teguh dan menyeluruh, memberi kefahaman Islam yang mendalam, masjid yang dilengkapi teknologi terkini dan pelbagai saluran yang tidak tersedia di zaman silam. Bangkitlah! Dunia merindui dan mengimpi peribadi Ali, Abdul Rahman ‘Auf, Zaid Harithah, Rabiatul Adawiyah, Ibnu Sina dan lain-lain lagi bersinar di dalam diri kalian semua. Garap dan hiaskan peribadi masing-masing dengan madah Saidina Abu Bakar As-siddiq, “Hiduplah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar dengan batu, tetap dibalas dengan buah”. InsyaAllah impian melihat remaja Islam berketrampilan dunia dan akhirat akan menjelma sebagai kenyataan.

Hasil nukilan dan kajian :

Rosnani Hasan

1 Response
  1. Unknown Says:

    sangat bermanfaat....saya mintak copy ye....hehehe