puterakuda
Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulillah segala puji-pujian bagi Allah,Pemilik Cinta yang Hakiki...

Terima kasih ya Rahim...hambaMu yang hina ini diberi kesempatan meminjam lagi nafas dan udaraMu untuk meneruskan lagi amanah yang diberikan sebagai khalifah didunia yang fana ini.Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami yang mengurniakan rasa kecintaan padaMu dan makhlukMu.

Sejenak diri ini memikirkan anugerah Allah yang turun tak putus-putus dan tak ternilai harganya.Sungguh penyayang Sang Khaliq menurunkan limpah rahmat atas dasar kecintaan pada makhlukNya. Allah berfirman sebagai mengingatkan hamba-hambaNya dengan nikmat-nikmat:

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”-surah al-Nahl ayat 18

Terimbau di ingatan ini kisah Nabi Sulaiman dan seekor semut yang bertakwa;

“Di zaman Nabi Allah Nabi Sulaiman,berlaku peristiwa Nabi Sulaiman berjumpa dengan seekor semut yang hidup di atas batu yang kering dan sukar untuk mendapatkan makanan. Lalu Nabi Sulaiman bertanya kepada semut tersebut bagaimana ia boleh mencari makanan dan berapa banyak yang boleh dimakan dalam sebulan. Maka semut menjawab ia memerlukan hanya sebiji gandum sahaja sebulan. Kemudian Nabi Sulaiman pun memberikan semut tersebut sebiji gandum yang diletakkan bersama semut tersebut di dalam sebuah bekas yang tertutup.

Selepas sebulan, beliau datang melihat semut tersebut dan mendapati semut itu hanya memakan separuh sahaja daripada sebiji gandum yang diberikan. Nabi Sulaiman bertanya kepada semut kenapa dia tidak makan habis sebiji gandum yang telah diberikan kepadanya. Semut menjawab bahawa dia akan makan sebiji gandum apabila ia sendiri yang mencarinya di atas batu tersebut dan apa yang diperolehi itu adalah rezeki daripada Allah swt. Dia yakin akan rezeki daripada Allah walau pun di atas batu dan dia sendiri yang berusaha mencarinya.

Tetapi jika rezeki itu diberikan oleh orang lain (yakni Nabi Sulaiman), semut itu tidak yakin rezeki itu akan diberikan lagi (datang menziarahi dia lagi untuk membawa rezeki yang seterusnya) sebab diletakkan dalam bekas yang bertutup dan dia tidak dapat berusaha sendiri. Namun dia tidak yakin untuk bergantung kepada Nabi Sulaiman di atas rezeki yang akan diperolehi kelak, maka dia hanya makan separuh sahaja, supaya dapat bertahan sehingga dua bulan.




Bagaimana dengan kita? Apakah iman kita setanding dengan makhluk Allah yang lemah, tiada hijab dan dijamin masuk syurga itu?Malu sungguh diri yang dijadikan sebaik-baik penciptaan tapi amatlah sedikit dalam mensyukuri nikmat Allah dan bertasbih demi kepentingan duniawi. Astagfirullahalazim. Ampunkan dosa kami yang sering leka ini ya Allah.

Kesyukuran padaNya sebenarnya berkait rapat kepada sejauh mana rasa cinta kita padaNya. Jika dilihat dunia hari ini,umat Islam sendiri menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. kecintaan umat Islam tidak lagi menjulang kepada Allah sebagai cinta pertama, tidak lagi mahu bermujahadah mengejar cinta Sang Khaliq. Sebaliknya, sentiasa bersemangat dan memperjuangkan cinta kepada dunia dan hamba-hamba dunia. Akibatnya kurang kehadiran para mujahid dan mujahidah dalam menegakkan agama Islam seterusnya dipandang remeh oleh agama lain.

Saban hari seronok dalam mengejar cinta manusia umpama ‘makan tak kenyang,tidur tak lena,mandi tak basah’. Apabila menyebut cinta Allah, tawar hati jadinya dek kerana terlalu ghairah menjulang cinta manusia melebihi Pemilik cinta Hakiki. Tauhid tidak dihayati, maka bagaimana Tuhan hendak dikenali, apatah lagi dicintai. Mereka hanya nampak apa yang didepan mata sedangkan yang Maha Melihat sering menjaga, mengawasi serta rindukan pujian dan keluhan hambaNya. Sungguh nipis iman umat Islam hari ini jika hendak dibandingkan umat terdahulu yang besar tahap mujahadahnya. Ya Allah kuatkan kami dalam mencari keredhaanMu.

Cinta kepada manusia tiada salahnya. Tipu jika dikatakan tiada langsung hadir rasa cinta dalam hati. Fitrah manusia dijadikan mempunyai sifat penyayang atas dasar cinta. Cinta kepada manusia kerana Allah membawa kepada keredhaanNya. Benar lagu yang didendangkan oleh kumpulan raihan,’carilah cinta’. Jika dihalusi makna lirik tersebut,banyak kebenarannya. Antara bait-bait lagunya;

“Carilah cinta yang sejati
yang ada hanya padanya
Carilah cinta yang hakiki
Yang hanya padanya yang Esa

Namun janjinya
Kepada Hamba-Nya
Tidak pernah dimungkiri
dan tidak pernah melupakanmu”

Mencintai Allah tidak akan pernah ada erti rasa kecewa atau dikhianati. Allah sentiasa mencintai dan mendengar keluhan hambaNya. Dialah Tuhan yang memiliki kemuncak segala kecintaan,kecantikan, keagungan dan kesempurnaan. Cinta kepadaNya pasti dibalas dengan pelbagai balasan nikmat dan rahsia yang tidak diketahui. Beruntung lah mereka yang meraih cintaNya.

Setiap hari kita hidup sangat memerlukan cinta Allah. Bermula dari mata celik selepas dimatikan sebentar, kemudian menghirup udaraNya, nadi jantung berdenyut, kaki melangkah meneruskan perjuangan dalam menunaikan ibadah solat subuh, akal berfungsi mengingati Allah, bibir berfungsi memuji ‘ Allah Maha Besar’ dan mengucap syukur sampai lah berakhirnya hidup dengan lafazLailahailallah. Semua memerlukan izin dariNya. Kalau tanpa kecintaanNya pada hamba-hambaNya, apa jadi pada kita yang sering berbuat maksiat padaNya? mungkin sudah dicabut roh dan dilenyapkan kita dimuka bumi ini dan diazab sekeras-kerasNya. Namun sifatNya yang Maha Penyayang sentiasa memberi peluang pada hambaNya untuk kembali. Renungkanlah.

Ramai dalam kalangan kita yang mengaku cinta pada Allah namun kata-kata itu hanya diungkap dibibir sahaja. Apabila diajak mendengar ceramah, pelbagai alasan bersusun dalam kepala. Cuba diajak ke program Battle of the band, kekangan apapun cuba di tembusi juga. Nauzubillah. Sayangnya pada dunia tiada tandingan. Bukankah hipokrit namanya?bibir kata lain,hati kata lain.

Penghulu kita Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.”

Orang yang menyintai Allah, sanggup bergadai waktu tidurnya bangun 1/3 malam yang akhir untuk sujud memohon keredhaan kerana ketika itu Allah turun untuk memakbulkan doa hambaNya.Pintu rahmat dan hijab dibuka seluas-luasnya ketika itu.

Allah berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepadaKu, niscaya Aku mengabulkannya, siapa yang memohon kepadaKu, niscaya Aku memberinya, siapa yang meminta ampun kepadaKu niscaya Aku mengampuninya”

Sangat lah sukar bagi mereka yang baru memulakan langkah bangun malam untuk qiamullail keran disitu bertarungnya iman dan nafsu. Rasulullah SAW menceritakan: “Syaitan mengikat pada tengkuk setiap orang di antara kalian dengan tiga ikatan (simpul) ketika kalian akan tidur. Setiap simpul ditiup bisikannya (kepada orang yang tidur itu): 'Bagimu malam yang panjang, tidurlah dengan nyenyak.' Maka apabila dia bangun dan menyebut nama Allah Ta’ala (berdoa), maka terurailah (terlepas) satu simpul. Kemudian apabila ia berwudhu', terurailah satu simpul lagi. Dan kemudian apabila dia solat, terurailah simpulan yang terakhir. Maka dia berpagi hari dalam keadaan segar dan bersih jiwanya. Jika tidak (yakni tidak bangun solat dan ibadah di malam hari), maka dia berpagi hari dalam keadaan kotor jiwanya dan malas (beramal soleh).” (Muttafaqun ‘alaih)

Bermujahadahlah kerana janji Allah pada mereka yang mengerjakan solat malam akan dibangkitkan di akhirat dengan wajah yang bercahaya. InsyaAllah ^_^

Peringatan juga buat diri ini yang sering leka, cinta Allah perlulah disemai. Perbanyakkan perkara ganjil (sunat) yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan cintaNya hadir dalam jiwa melebihi cinta makhluk. Amin ya Rabb.

“Matikan kami sebaik-baik kematian dan dalam keadaan kami menyintaiMu.Tempatkan kami dalam golongan yang sedikit. Amin”

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli Syurga, akan diperlihatkan kepadanya Syurga. Sekiranya dia dari kalangan ahli Neraka, akan diperlihatkan kepadanya Neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada Hari Kiamat”.

Akhir kata,ku selitkan kalamMu yang menjadikan keyakinanku terhadapMu;

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
-Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih-

0 Responses